skgpj.zoom-a.com
SEKOLAH KEBANGSAAN GELANG PATAH
JKR 4490, JALAN TERONG, 81550 GELANG PATAH, JOHOR
| LAMAN UTAMA |

SEJARAH SEKOLAH


Bangunan Prasekolah

Bangunan Bilik Darjah

Nama Sekolah Kebangsaan Gelang Patah diambil berdasarkan nama kampung, iaitu Pekan Gelang Patah. Mengikut sesetengah riwayat, Pekan Gelang patah dinamakan sempena nama peristiwa "galang patah"-kayu galang samapan atau kapal patah.

Penubuhan sekolah ini ialah atas usaha pemimpin-pemimpin UMNO tempatan yang telah menerima desakan daripada penduduk setempat yang inginkan anak-anak mereka mendapat pendidikan secara formal.

Pada awal tahun 1957, hasrat dan cita-cita murini itu akhirnya menjadi kenyataan apabila terbinanya sebuah bangunan kayu berukuran 60'x 20' di atas sebidang tanah berpaya seluas lebih kurang 3E 3R 36P. Bangunan batu yang berdindingkan papan dan beratapkan zink ini hanya kelihatan bumbungnya sahaja jika dilihat dari arah depan walaupun dibina tidak jauh daripada jalan raya. Ini disebabkan bangunan tersebut terlindung oleh hutan kecil.

Pada 30 Jun 1957, bangunan ini telah dirasmikan oleh En.Rahmat bin Hj.Ismail, Pengelola Sekolah Melayu Daerah Johor Bahru. Pada masa itu status sekolah ini ialah sekolah rakyat.

Pada Julai 1957, Cikgu Ahmad bin Tapa telah diarahkan untuk menerajui sekolah ini. Bermula pada tarikh tersebut, sekolah ini mula beroperasi dan berperanan seperti yang diharapkan. Tiga bulan kemudian seorang guru telah ditambah berikutan pertambahan bilangan murid. Dalam tempoh tiga tahun, jumlah muridnya telah melebihi seratus orang, manakala gurunya pula seramai empat orang.



Bangunan Pejabat Sekolah


Dataran Kejat

Pada tahun 1960, sekolah ini telah dinaikkan taraf menjadi sekolah bantuan penuh. Sekolah ini juga turut diperluaskan 20'X20' lagi. Dua tahun berikutnya bangunan yang sedia ada tidak dapat lagi menampung bilangan murid-murid yang semakin ramai. Sebahagian daripada mereka terpaksa ditempatkan di bangunan bekas mahkamah, Pejabat Penolong Pegawai Daerah di Gelang Patah.

Seterusnya pada tahun 1965, bangunan kekal dua tingkat pula dibina. Bangunan ini mengandungi 7 buah bilik darjah, 1 buah bilik guru dan 1 buah pejabat serta 1 buah kantin. Dengan adanya bangunan ini semua kawasan seluas 3 ekar ini dapat digunakan. Keseluruhannya termasuklah sebuah padang untuk kanak-kanak. Selain itu, terdapat juga satu unit rumah guru kalas G yang siap dibina pada tahun 1983 dan satu unit bangunan Pusat Kegiatan Guru yang dibina pada tahun 1942. Dengan pertambahan bilangan murid, Sekolah Kebangsaan Gelang Patah  telah digredkan kepada sekolah gred B mulai tahun 1980, kemudiannya dinaikkan kepada gred A pada tahun 1992.

Dalam bidang kurikulum dan kokurikulum Sekolah Kebangsaan Gelang Patah berkembang dan memainkan peranannya secara aktif mengikut dasar perubahan dan perkembangan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Mulai tahun 1983, Sekolah Kebangsaan Gelang Patah memulakan KBSR yang menggantikan KLSR.

Tahun demi tahun Sekolah Kebangsaan Gelang Patah telah mengalami beberapa perubahan daripada infrastruktur. Pada tahun 1996 bangunan lama telah digantikan dengan bangunan tiga tingkat. Pada tahun 1997, dua unit rumah guru dan sebuah surau telah dibina. Seterusnya tahun 2000, dataran perhimpunan yang dikenali sebagai Dataran Kejat telah diperluaskan.



    


Zoom A - Program Pembelajaran Secara Interaktif Melalui Internet Yang Tercanggih Di Malaysia

Pelawat: